Friday, September 11, 2009

Qiyamulail~

Salamun’alaik. Alhamdulillahi rabbil ‘Alamin… ana rafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. Pentadbir dunia yang fana ini, atas limpahan rahmat dan kurnia Nya, dapat juga ana meneruskan ibadah puasa ana di dalam bulan Ramadhan ini.

Pejam celik, pejam celik dah 20 hari kita berpuasa. Masya Allah, cepatnya masa berlalu. Rasa macam belum puas lagi menikmati ketenangan dalam bulan Ramadhan ini. Dan kini, dia akan meninggalkan kita tak lama lagi… sedihnya… Kadang-kadang ana terfikir, apa je la yang ana lakukan sepanjang bulan Ramadhan ini. Boleh ke ana ‘digraduankan’ sebagai seorang yang berjaya dan mendapat ‘ijazah’ Taqwa dari Madrasah Ramadhan… Ya Allah.. Bantulah hamba Mu ini… Berilah kekuatan untuk melawan nafsu sepanjang diriku melakukan ibadah puasa ini..

Subhanallah… dah masuk hari 10 terakhir Ramadhan rupanya.. Waktu ana pergi terawih semalam, seorang pensyarah, iaitu ustaz Saifullah ada menerangkan tentang fadhilat Qiyamulail. Penerangan yang diberikan sangat jelas dan mudah untuk difahami. Semuanya diambil dari kitab Riyadhus Sholihin dan hadis yang diriwayatkan oleh dua ulama’ besar iaitu Imam Nawawi dan seorang lagi….mintak maaf ana tak ingat… -_-. Hmm.. walau apa pun, dari hadis-hadis yang dibacakan sangat-sangat membuatkan ana terfikir dan terus memikirkan tentang amalan-amalan ana. Pada awal muqaddimah tazkirah ustaz, selepas ustaz membaca tajuknya, ustaz mengatakan bahawa walaupun tajuk ini nampak macam dah biasa dan sering dibicarakan mengenainya, tapi belum tentu orang boleh melakukannya. Betul kata ustaz. Qiyamulail rasa macam dah biasa dengar. Atau dengan erti kata lain, dah lali dengan perkataan tersebut. Tapi mampukah kita melakukannya? Satu persoalan yang bertandang di fikiran ana…

Dari hadis yang ustaz sebutkan mengenai Qiyamulail, ana mula bertekad dalam diri ana untuk istiqamah dalam melakukan amalan tersebut. Insya Allah. Ustaz ada menyebutkan tentang hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a. di mana beliau melihat Nabi s.a.w. melakukan Qiyamulail sehingga pecah-pecah tapak kaki Rasulullah s.a.w. (atau dalan riwayat lain ada yang mengatakan kaki Nabi bengkak-bengkak. Wallahualam). Masya Allah… itu Rasulullah, yang ma’sum yang telah dijanjikan syurga olehnya, lakukan Qiyamulail dah sampai begitu sekali keadaannya. Lalu sayidatina Aisyah r.a. pun bertanya kepada Rasulullah, mengapa Rasulullah solat hingga keadaan Baginda sedemikian rupa. Lalu Rasulullah menjawab, ‘tidak bolehkah aku menjadi seorang hamba yang bersyukur?’. Subhanallah… Mulianya sifat junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w… sebak rasanya mendengar hadis tersebut..

Ada satu hadis yang mengatakan bahawa Rasulullah melakukan Qiyamulail dan ‘berkerja keras’ dalam melakukan ibadahnya pada 10 malam terakhir Ramadhan. Yakni amalan Rasulullah dilakukannya lebih dari bulan-bulan atau hari-hari yang lain pada bulan Ramadhan.

Dan ada dalam hadis lain yang mengatakan bahawa Rasulullah pernah datang ke rumah Sayidina Ali dan Fatimah pada malam hari. Lalu mengejutkan mereka untuk bangun Qiyamulail… Masya Allah… pada zaman sekarang, mana ada bapa mertua mengejutkan menantu bagun Qiyam? Atau menantu mengejutkan bapa mertua untuk bagun solat malam? Hm…fikir-fikirkanlah… Ustaz juga ada mengatakan bahawa sebaik-baik isteri adalah apabila dia mengejutkan suaminya untuk bangun solat, dan apabila suaminya masih tidak bangun, dia akan merenjiskan air ke muka suaminya. Begitu juga sebaliknya. Tapi ustaz cakap jangan simbah air satu baldi sudahlah… huhu.. ^_^.

Dan Ustaz juga ada membacakan satu hadis yang lain, yang mana Rasulullah mengatakan janganlah kamu menjadi seperti sesetengah manusia. Yang mana mereka bangun malam tapi meninggalkan solat malam. Dia qiyamulail juga. Tapi dari segi bahasa saja. Yakni dia bangun malam tapi untuk tonton bola sepak contohnya. Sedangkan Qiyamulail yang sebenarnya adalah untuk berkhalwat (dalam bahasa arab ia membawa maksud bersendirian) dengan Allah, dan bermunajat, berzikir dan menginsafi perbuatan kita. Kerana rugilah orang-orang yang tidak melakukan ibadah-ibadah tersebut..

Jadi, sahabat-sahabat sekalian, rebutlah dan terus merebut peluang yang masih ada di 10 malam terakhir Ramadhan ini dengan melakukan Qiyamulail, berzikir, bermunajat pada Allah, Pemilik nyawa kita, yang sentiasa berada dekat dengan hamba-hambaNya, yang Maha Mengetahui segala isi hati ini, kerana Dia adalah Pencipta kita.. Yakinlah dengan pertolongan Nya.

Hmm.. macam terpanjang pulak entry kali ini. Tapi tidak mengapalah. Semoga dengan izin Allah, ia dapat memberi manfaat kepada para pembaca sekalian. Insya Allah. Sampai di sini dulu. Mudah-mudahan kita mendapat maghfirah dan ganjaran yang terbaik daripada Allah s.w.t pada bulan Ramadhan kali ini. bi iznillah. Insya Allah. Akhir kalam, ana mendoakan agar antum semua menjadi ‘graduan-graduan’ yang cemerlang (dapat 4 flat! Heheh.. amin…) dalam Madrasah Ramadhan ini dengan mendapat ‘ijazah’ Taqwa yang diidamkan setiap mereka yang beriman. Insya Allah. Wallahulam. Wassalam…

No comments:

Post a Comment