Sunday, May 2, 2010

Belgium lulus rang haramkan niqab dan burqa...

بسم الله الرحمن الرحيم

"قال الله تعالى في كتابه العزيز "ومكروا ومكر الله والله خير المكرين
.صدق الله العظيم

Salam'alaik. Hamdan lillah, setinggi-tinggi kesyukuran ana rafakkan ke hadrat Illahi, kerana dengan rahmat serta inayahNya, ana masih lagi bernafas dalam nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarganya, para sahabat serta para tabiin dan seterusnya penyambung mata rantai dakwah.

Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat ke 54:" Dan mereka (orang-orang kafir) membuat tipu daya, maka Allah pun membalas tipu daya. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya." Ayat ini adalah tafisran bagi ayat yang di atas itu.

Sahabat-sahabat yang sentiasa di bawah lindungan Allah, beberapa hari yang lepas, ana telah menonton berita di TV, dan telah mendapat tahu bahawa Belgium, iaitu salah sebuah negara di Eropah, telah melulusakn rang mengharamkan pemakaian niqab bagi kaum muslimah yang menetap di negara tersebut. Sekali gus telah membuatkan negara tersebut, negara Eropah yang pertama yang mengharamkan pemakaian niqab. Di dewan rendah parlimen Belgium, terdapat 136 undi yang menyokong, dan hanya dua yang berkecuali.

Namun, Alhamdulillah, langkah ini telah dikecam oleh beberapa pihak. Iaitu, para pemimpin Islam, badan hak asasi Amnesti Antarabangsa, naib presiden Eksekutif Muslim Belgium (MEM) iaitu Cik Issabelle Praille, dan juga biskop Katolik. Malangnya, pengharaman niqab dan burqa ini akan diikuti oleh beberapa buah negara Eropah yang lain. Seperti, Perancis, yang telah berikrar akan meluluskan larangan serupa menjalang September. Rang tersebut juga sudah diperkenalkan di parlimen Italy dan Belanda. Manakala Switzerland dan Austria berkata, rang tersebut bagus untuk mereka.

Allahuakbar wa lillahil hamd... Di manakah umat Islam yang lain dalam mempertahankan isu umat Islam sendiri? Jika kamu berfikir ia adalah satu tindakan yang wajar, hanya kerana Belgium bukanlah negara Islam, maka kamu silap. Ana tidak menafikan bahawa Belgium adalah negara yang bukan Islam. Namun, apakah wajar wanita-wanita Islam yang menetap di negara tersebut diperlakukan seperti ini? Tidak mungkin hanya kerana seorang atau dua yang memakai niqab atau burqa, mereka ingin mengharamkan pemakaian niqab. Sudah pasti ramai yang memakainya bukan?

Umat Islam hari ini lebih mengambil sikap berdiam diri. Ana masih ingat satu cerita yang diceritakan oleh pensyarah ana. Beliau mengatakan bahawa pada zaman kegemilangan Islam dahulu, ada seorang khalifah yang sedang memerintah, telah mendapat berita bahawa seorang wanita Islam di Eropah, telah diperkotak-katikkan agamanya. Khalifah telah menghantar surat kepada pemerintah negara tersebut supaya memohon maaf kepada wanita itu. Jika tidak, maka khalifah tersebut akan menghantar tentera yang mana askar pertama tentera tersebut di depan pintu rumah pemerintah itu, dan askar terakhir berada di pintu istana khalifah tersebut. Dan sudah pastinya istana Khalifah itu berada di salah sebuah negara Arab. (Ana tidak pasti pada zaman pemerintahan siapa). Masya Allah, lihatlah betapa berkuasanya seorang khalifah itu. Hanya kerana SEORANG WANITA ISLAM yang berada di Eropah, beliau telah sanggup menyediakan tentera sebegitu ramai.

Umat Islam pada hari ini bagaimana pula? Wanita-wanita Islam ditindas, dianiaya, diperlakukan sewenang-wenangnya tanpa ada rasa belas kasihan, dimaki, dihina, diperendah-rendahkan maruahnya. Mana Umat Islam yang lain? Hanya duduk dan lihat? Masih sibuk mengejar dunia yang fana dan akan hancur tak lama lagi?

Sahabat-sahabat sekalian, ana akur bahawa pemakaian niqab dan burqa ini tidak wajib. Dan tidak ada dalil qat'i yang menunjukkan bahawa ia adalah wajib. Namun perkara ini telah menjadi perbahasan ulama' yang berbeza pendapat dan mazhab. Dan kesemuanya mempunyai dalil yang tersendiri. Mungkin ada yang rajih, dan ada yang tidak. Walau bagaimana pun, terdapat satu dalil yang menunjukkan bahawa ia adalah pakaian isteri-isteri Nabi. ( Boleh rujuk surah Al-Ahzab ayat 59) Namun, kesemua empat-empat mazhab, tidak ada yang mengatakan ia haram. Bagaimana pula, seorang kafir boleh meletakkan undang-undang sedemikian rupa? Alasannya hanya sekadar tidak dapat mengecam muka? Malah ada yang disaman hanya kerana memandu kereta dalam keadaan berniqab. Mereka berkata, ia adalah untuk keselamatan jalan raya. Bukankah niqab yang mereka pakai itu menampakkan bahagian mata mereka?

Mengikut pengalaman ana sendiri, hanya sekadar ingin berkongsi, hidup di sebuah negara sekular, yang alhamdulillah, mengamalkan sistem hak kebebasan beragama, sangat terasa janggal dengan keadaan berniqab. Walaupun umat Islam di negara ana ramai dan mencecah hampir setengah juta, namun disebabkan arus kemodenan, nilai-nilai Islam itu semakin tenggelam dan hilang. Ana sendiri mengalami beberapa sindiran sinis yang dilontarkan kepada diri ini ketika berada di khalayak ramai. Ana pernah digelar 'samurai' 'Osama bin laden' 'ninja' 'hantu' dan macam-macam lagi. Ditambah pula dengan pandangan-pandangan yang pelik dari mata yang melihat. Allah telah menceritakan perilaku orang munafik (boleh rujuk surah At-Taubah ayat 63-64), di mana mereka memperolok-olokkan apa yang dibawa oleh Rasulullah. Apabila ditanya, mereka berkata, itu hanya satu gurauan. Dan Allah menyuruh Rasulullah bertanya kepada mereka, mengapa perlu mempersendakan ayat-ayat Allah dan RasulNya.

Allahu Rabbi, jika ini adalah satu ujian dari Mu, maka Kau kuatkanlah hati-hati kami untuk mengahadapinya. Terutamanya kepada saudara seislamku di negara-negara yang ditindas oleh musuh-musuhMu. Kau bantulah mereka dalam mengalahkan rancangan mereka yang ingin menjatuhkan Islam. Kerana Engkaulah sebaik-baik perancang.

Akhir kalam, semoga segala musibah dan ujian yang menimpa, menyedarkan kita bahawa umat Islam berada dalam keadaan yang menyedihkan. Dan sudah jadi tanggungjawab bagi diri kita untuk mengembalikan Islam seperti dahulu. Islam pasti GEMILANG. Insya Allah. Takbir!

Wallhu'alam.