Wednesday, October 7, 2009

Ulama Mesir mahu mengharamkan pemakaian niqab di institusi Al-Azhar?

Salam'alaik. Semoga sentiasa di bawah perlindungan Allah s.w.t.

Hati ana terdetik untuk membaca suratkhabar sebelum makan sarapan pagi. Semasa membelek suratkhabar, ana terperasan satu tajuk yang amat mengejutkan. Ana tidak percaya dengan apa yang ana baca. Ana ulangi pembacaan ana berkali-kali. Agar apa yang ana baca itu adalah betul.

Masya Allah... alangkah terkejutnya ana apabila mendapati bahawa ulama' besar Al-Azhar Syiekh Muhammad syed Tantawi akan mengHARAMkan pemakaian niqab di sekolah-sekolah Al-Azhar. Dan ini juga termasuk institusi Al-Azhar itu sendiri. Dan lebih mengejutkan adalah apabila beliau mengatakan bahawa niqab tidak ada kena mengena dengan agama Islam dan hanya satu adat. Dan beliau akan mengeluarkan FATWA mengenai pengharaman tersebut dalam masa terdekat ini.

Bukan itu sahaja, malah seorang pegawai polis telah diberi arahan untuk mengharamkan pelajar perempuan yang menutup kepala hingga jari kaki daripada memasuki institusi-institusi Al-Azhar termasuk sekolah-sekolah yang ada kaitan dengan Al-Azhar. Beliau juga memberitahu bahawa langkah ini adalah sebagai sebahagian kempen yang dilakukan oleh pemerintah Mesir untuk mengambil tindakan tegas kepada golongan Islam yang terlalu KONSERVATIF di negara itu.

Astaghfirullah... Mengapa mereka harus melakukan ini semua? Sedangkan kebebasan beragama dan mengamalkan ajaran agama seseorang itu adalah hak setiap individu di dunia ini. Namun, ana tidak hairan jika yang melakukan perkara ini adalah negara Mesir. Kerana ana sudah cukup maklum dengan pemerintahan Mesir yang begitu sekular. Sehinggakan ulama' terbesar di negara itu pun boleh terpengaruh dengan rancangan jahat mereka untuk menjatuhkan Islam.

Masya Allah.. Apakah ulama' Mesir itu tidak mengerti tentang pemakaian niqab ini bukan adat tetapi satu suruhan agama? Para Mufassirin telah mentafsirkan dan memberi penerangan yang jelas dalam surah Al-Ahzab ayat 59 dan surah An-Nur ayat 31 tentang pemakaian niqab ini. Dan ramai ulama' telah mengatakan bahawa niqab ini adalah harus hingga ada yang mengatakan bahawa ianya WAJIB. Dan TIDAK ADA yang mengatakan bahawa pemakaian niqab ini HARAM.

Ya Allah.. bantulah saudara seIslam kami yang menetap di negara-negara yang ditindas agar sentiasa sabar dalam mengahdapi pemerintahan taghut di negara mereka. Kepada Akhawat fillah ku yang berada di negara tersebut, bersabarlah atas dugaan ini. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama mu dan mereka yang berada di landasan yang benar untuk menegakkan Islam. Dan kami akan sentiasa mendoakan kesejahteraan diri kamu. Insya Allah.

Wallhu'alam.
_______________________________________
-Dipetik dari Berita Harian Singapura.
7 Okt 2009
LUAR NEGARA
Laporan: Ulama mahu haram pelajar tutup muka di institusi Al-Azhar

KAHIRAH: Ulama utama Mesir merancang mengharamkan para pelajar perempuan sekolah-sekolah Al-Azhar, institusi pengajian utama golongan Sunnah, daripada menutup muka mereka semasa berada di institusi-institusinya, menurut satu laporan sebuah akhbar bebas semalam.

Seorang pegawai keselamatan juga memberitahu agensi berita The Associated Press (AP) bahawa polis telah diberi arahan mengharamkan pelajar perempuan yang menutup kepala hingga jari kaki daripada memasuki institusi-institusi Al-Azhar, termasuk sekolah-sekolah menengah dan tinggi, serta asrama-asrama beberapa universiti di Kahirah.

Pegawai itu, yang bercakap atas syarat namanya tidak didedahkan kerana beliau tidak diberi kuasa bercakap kepada pihak akhbar, berkata pengharaman itu adalah atas sebab-sebab keselamatan.

Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada kempen pemerintah Mesir untuk mengambil tindakan tegas terhadap beberapa golongan Islam yang terlalu konservatif di negara itu.

Sedang sebahagian besar wanita Mesir memakai tudung, hanya segelintir memakai niqab atau menutup muka mereka, seperti lumrah dilihat di negara jiran Arab Saudi. Namun, trend itu semakin ketara dalam negara Arab paling ramai penduduk itu.

Rancangan ulama besar Al-Azhar, Sheikh Mohammed Sayyed Tantawi, itu terdedah apabila beliau menegur seorang pelajar perempuan sebuah sekolah menengah yang dikunjungi awal minggu ini supaya membuka niqabnya.

Sheikh Tantawi sedang memeriksa sekolah-sekolah Al-Azhar pada awal tahun akademiknya untuk melihat langkah yang diambil bagi menghalang penyebaran flu H1N1, menurut butir lawatan yang dikeluarkan akhbar bebas harian, Al-Masry Al-Youm.

Sheikh Tantawi dengan marah memberitahu pelajar perempuan itu bahawa niqab 'tiada kaitannya dengan Islam dan hanyalah satu adat'.

Beliau kemudian mengumumkan bahawa beliau akan mengeluarkan fatwa dalam masa terdekat mengharamkan pelajar perempuan memakai niqab daripada memasuki sekolah-sekolah Al-
Azhar.

'Niqab tidak ada kena mengena dengan Islam... Saya lebih tahu agama daripada anda dan ibu bapa anda,' kata ulama itu, yang dipetik oleh laporan tersebut.

Sheikh Tantawi meninggalkan Kahirah lewat Ahad lalu untuk melawat Tajikistan dan tidak dapat dihubungi untuk mengulas.
Panggilan kepada timbalan-timbalannya juga tidak dijawab. -- AP

2 comments: