Thursday, July 9, 2009

Kisah Abu Zharr Al-Ghifari

Di lembah Waddan yang menghubungkan Makkah dengan dunia luar, tinggallah suku Bani Ghifar. Bami Ghifar hidup dengan berdagang secara kecil-kecilan dengan kafilah bangsa Quraisy yang lewat di perkampungan mereka untuk berniaga di Syria. Jundub bin Jundullah, gelarannya Abu Zharr berasal dari suku ini.
Beliau terkenal kerana sifat berani, tenang, berfikiran jauh dan juga kebenciannya terhadap berhala-berhala yang disembah oleh suku kaumnya.

Sewaktu beliau di padang pasir Waddan, sampailah berita kepadanya tentang kemunculan seorang Nabi di Makkah. Beliau amat berharap agar kemunculan Nabi itu dapat menolong mengubah hati dan pemikiran suku kaumnya dan memimpin mereka keluar dari kegelapan kepercayaan tahyul. Tnapa membuang masa, beliau telah meminta pertolongan dari saudaranya yang bernama Anis, untuk pergi ke Makkah dan mendapatkan berita tentang Nabi tersebut.

Anis pun pergi ke Makkah dan bertemu Nabi SAW. Beliau mendengar apa sahaja yang disampaikan baginda lalu kembali ke padang pasir Waddan. Abu Zharr menemui Anis dan bertanyakan tentang Nabi dengan perasaan tidak sabar. Anis berkata " Aku telah melihat seorang lelaki yang menyeru manusia supaya mengerjakan perbuatan baik. Sesungghnya perkataanya itu bukanlah syair. Orang ramai mengatakan bahawa dia adalah seorang ahli sihir, ahli nujum dan penyair".

Abu Zharr tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh saudaranya itu. Lalu dia meminta Anis untuk menjaga keluarganya sementara beliau sendiri yang pergi ke Makkah untuk bertemu dengan Nabi SAW. Dan saudaranya itu telah berpesan suapay berwaspada terhadap penduduk Makkah.

Apabila beliau sampai di Makkah, Abu Zharr segera merasa sangat bimbang akan keselamatan dirinya lalu bercadang agar lebih berwaspada. Beliau mendapati kaum Quraisy begitu marah dengan penghinaan terhadap tuhan-tuhan mereka. Abu Zharr juga mendengar mngenai keganasan yang dilakukan oleh kaum Quraisy terhadap pengikut Nabi Muhammad SAW. Dengan itu beliau belum berani untuk menyoal penduduk di situ mengenai Nabi SAW.

Pada waktu malam, beliau berbaring di Masjidil Haram. Lalu Ali bin Abi Talib lalu di tempatnya dan menyedari bahawa beliau adalah orang asing. Maka Ali mengajaknya datang ke rumah. Abu Zharr menghabiskan malam itu bersama Ali tanpa bertanya sebarang soalan dan tidak juga ditanya apa-apa soalan. Pada keesokan paginya, Abu Zharr kembali ke masjid. Pada malam itu, sekali lagi Sayyidina Ali menjemput beliau datang ke rumahnya. Sehinggalah pada malam yang ketiga, Sayyidina Ali bertanya kepada Abu Zharr tentang tujuan beliau datang ke sini.
Abu Zharr menyuruh Sayyidina Ali berjanji sekiranya Sayyidina Ali dapat memberikan petunjuk-petunjuk yang beliau perlukan maka beliau tidak keberatan untuk menjelaskannya. Sayyidina Ali pun bersetuju.

Abu Zharr pun menerangkan tujuan beliau datang ke Makkah adalah untuk bertemu Nabi Muhammad SAW dan mendengar beberapa ucapannya. Lalu, apabila Sayyidina Ali mendengar sedemikian beliau pun berkata bahawa Nabi Muhammad itu adlah Rasul Allah. Dan beliau menceritakan kepada Abu Zharr mengenai Nabi dan ajaran yang dibawanya.

Sayyidina Ali pun berkata:"Untuk menemuinya, maka pada waktu pagi esok, ikutlah ke mana sahaja aku pergi. Dalam pada itu, aku mengingatkan saudara bahwa apabila di tengah jalan aku melihat sesuatu hal yang akan membahayakan saudara, aku akan berhenti dan pura-pura meludah sebagai tanda isyarat. Jika aku meneruskan perjalanan ikutlah aku sehingga engkau sampai ke tempat yang aku sampai".

Abu Zharr tidak dapat tidur sepanjang malam itu kerana keinginannya untuk bertemu Rasulullah. Pada waktu pagi, beliau mengikut perjalanan Ali sehinggalah mereka sampai di depan Rasulullah SAW. Lalu, Abu Zharr menyapa Baginda dengan mengucapkan salam. Lalu Baginda pun menjawabnya. Dengan ini, Abu Zharr lah orang yang pertama memberi salam. Rasulullah menyambut kedatangan Abu Zharr dengan mengajaknya memasuk Islam dan membacakan kepadanya beberapa ayat Al-Quran. Tidak lama kemudian Abu Zharr mengucapkan dua kalimah syahadah dan beliau merupakan diantara orang yang mula-mula memeluk agama Islam.

Selepas itu beliau tinggal bersama Baginda di Makkah dan Baginda telah mengajarkan kepadanya ajaran-ajaran Islam serta mengajarnya membaca Al-Quran. Baginda pun berkata kepadanya:" Janganlah engkau memberitahu sesiapa pun di Makkah tentang keislamanmu. Aku khuatir mereka akan membunuhmu".
Lalu Abu Zharr pun menjawab:" Demi Allah yang jiwaku di tanganNya, aku tidak akan meninggalkan Makkah sehingga aku pergi ke Masjidil Haram dan mengumumkan keislamanku".

Nabi SAW diam dan mendengar sahaja kata-katanya itu. Beliau pun terus pergi ke Masjidil Haram dan masuk ke tengah-tengah kaum musyrikin yang sedang berbual-bual lalu beliau pun berteriak:"Hai orang-orang Quraisy! Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah".
Lalu dengan pantas orang-orang Quraisy tadi menerpa ke arah Abu Zharr dan membelasahnya tanpa sedikit belas kasihan pun sehinggalah datangnya Abbas bin Abdul Mutallib, dan beliau berkata:"Celakalah kalian! Apakah kalian ingin membunuh orang dari suku Bani Ghifar padahal kafilah kalian terpaksa melintasi perkampungan mereka?".
Kemudian, barulah mereka melepaskan aku. Apabila beliau kembali kepada Rasulullah, dan apabila Baginda melihat keadannya, Baginda pun berkata:" Bukankah aku telah memberitahumu supaya jangan mengisytiharkan keislamanmu?". Beliau berkata:" Aku melakukannya kerana keinginan jiwaku". Lalu Baginda pun menyuruhnya untuk pulang kepada kaumnya.

Di kampung halamannya, beliau telah mengislamkan saudaranya Anis, ibunya dan juga ramai diantara kaumnya. Beliau tinggal di kampungnya sehinggalah Rasulullah berhijrah ke Madinah dan selepas berlakunya perang Badar, Uhud dan Khandaq. Setelah itu, beliau meminta izin daripada Baginda untuk menetap di Madinah dan berkhidmat sepenuhnya untuk Baginda.

Selepas kewafatan Nabi, Abu Zharr berasa teramat sedih dan tidak tahan untuk menetap di Madinah. Lalu beliau berpindah ke Syria. Pada zaman pemerintahan Uthman, beliau tinggal di Damsyik. Dan beliau mendapati kaum Muslimin asyik memburu kesenangan dunia. Beliau merasa sedih dan kecewa dengan hal itu. Lalu Sayyidina Uthman memintanya supaya datang ke Madinah. Di Madinah juga beliau mengkritik orang ramai yang telah tenggelam dengan kemewahan dunia. Orang ramai tidak merasa senang dengan sikapnya itu. Dengan itu Sayyidina Uthman memintanya untuk meninggalkan Madinah. Beliau meminta izin untuk pulang ke Rubdhah, sebuah perkampungan kecil di pinggir Madinah.

Di sana beliau hidup jauh dari manusia. Beliau memegang kepada Sunnah Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dalam mendapatkan akhirat yang baik daripada dunia yang bersifat sementara ini. Abu Zharr hidup dalam keadaan yang sederhana dan serba kekurangan hingga akhir hayatnya.

Pada waktu ajalnya hampir tiba, beliau telah berpesan kepada isteri dan pembantunya supaya meletakkan jenazahnya di tengah jalan. Dan apabila ada sebuah rombongan yang lalu di situ, beliau menyuruh mereka mengatakan kepada rombongan tersebut bahawa itu adalah jenazah Abu Zharr salah seorang sahabat Rasulullah SAW. Dan Abu Zharr memerintahkan kepada isteri dan pembantunya untuk meminta bantuan dari mereka untuk mengebumikan jenazahnya.

Setelah beliau meninggal dunia, isteri dan pembantunya telah melakukan wasiat tersebut. Tidak lama kemudian lewatlah rombongan dari Iraq yang diketuai oleh Abdullah bin Mas'ud. Mereka terperanjat dengan jenazah yang ada di pertengahan jalan itu yang hampir-hampir dipijak oleh unta mereka. Lalu pembantu Abu Zharr segera menyatakan bahawa itu adalah jenazah Abu Zharr. Mendengar keterangan itu, Abdullah bin Mas'ud menangis lalu berkata:" Sungguh benarlah apa yang dikatakan oleh Rasulullah. Bahawa Abu Zharr berjalan seorang diri, meninggal seorang diri, dan akan dibangkitkan pada hari kiamat seorang diri". Pada tahun 32H, Abu Zharr yang zuhud itu meninggal dunia. Rasulullah pernah berkata mengenainya:" Bumi tidak membawa dan langit tidak meliputi seorang pun yang lebih benar dan taqwa selain dari Abu Zharr".

Wallahu'alam.
-Mujahidatul Muslimah-

No comments:

Post a Comment