Friday, November 27, 2009

Hentikanlah tangisanku...

Salamun'alaik.

Ya Allah... aku mohon rahmat dan maghfirah Mu. Ampunilah dosaku... Allahumma ighfir zunubi ya Rabbal 'alamin...

Masya Allah... setiap kali aku pulang ke tanah air, pasti ada berita yang mengecewakan hati ini. Semakin lama, semakin teruk. Aku tidak sanggup untuk mendengarnya. Aku risau melihat kaum kerabatku yang semakin hari, semakin melampaui batas syariat agama. Bukan mudah untuk berdakwah dengan ahli keluarga ku sendiri. Namun, aku tetap akan berusaha. Jika aku tidak mampu untuk berdakwah secara terang-terangan, aku akan berdakwah bil hal.

Duhai kaum kerabatku yang amat aku kasihi, sedarkah kalian bahawa umat Islam dalam keadaan membimbangkan. Umat Islam sudah semakin parah dengan ketandusan akhlaknya dan nilai-nilai Islam dalam kehidupan mereka. Aku sebagai seorang Muslimah yang masih mempunyai kesedaran terhadap Islam, berasa kecewa dengan apa yang aku lihat pada kalian hari ini.

Mendedahkan aurat, ikhtilat, rokok, minuman keras, pergi ke pub dan sebagainya, sudah menjadi kebiasaan bagi diri kalian. Gambar-gambar kalian di Facebook dan sebagainya menjadi bukti kata-kataku ini. Astaghfirullah... Kalau aku menanyakan kepada kalian apa agama mu, apa yang akan kalian jawab? Sudah tentunya kalian akan mengaku bahawa diri kalian adalah orang Islam. Namun, apakah hanya sekadar Islam pada nama sahaja sudah cukup?? Tanpa menghiraukan larangan dan suruhan daripada Al-Quran dan As-Sunnah, bolehkah kita menjadi seorang Muslim yang baik? Ingin sahaja aku memarahi kalian kerana aku tidak sanggup melihat maksiat yang berleluasa di depan mataku. Namun aku sedar, aku tidak boleh bertindak terburu-buru. Kerana silaturrahim kita yang tidak beberapa erat, menjadikan sukar bagi aku untuk berkomunikasi dengan kalian. Aku sedar, aku tidak sempurna dan bukan sesiapa pada kaca mata kalian. Dan tidak mungkin aku akan jadi sempurna. Tapi, itu tidak bermakna aku hanya duduk dan lihat segala perbuatan maksiat kalian. Aku akan tetap pertahankan yang haq, dan menghapuskan yang batil!. Aku menanti masa yang sesuai. Aku pasti bersuara.

Sedarlah... Aku mohon, insafilah perbuatan kalian. Kembalilah kepada fitrah. Allah sedang menunggu kedatangan kalian. Ya, Allah mempunyai sifat Mutakabbir. Allah mempunyai sifat Jabbar. Allah mempunyai sifat Qahhar. Tapi ingatlah duhai kaum kerabatku... Allah juga mempunyai sifat Ghaffar. Allah juga mempunyai sifat Ar-Rahman, Allah juga mempunyai sifat Ar-Rahim. Allah akan memberi Hidayah kepada sesiapa yang Allah kehendaki. Dan aku harap kalian adalah di antara mereka yang terpilih. Insya Allah. Amin.

Aku tidak tahu bila tangisan ini akan berakhir. Tapi yang pasti, aku akan sentiasa mendoakan kalian. Jika tidak hari ini, mungkin esok atau mungkin juga lusa, bahawa kalian akan mendapat Hidayah Allah dan akan berubah kepada yang lebih baik, sebelum Allah menjemput kalian kembali. Dan aku juga berharap, dan akan terus mengharap. Suatu hari nanti, Islam pasti tertegak di muka bumi ini. Dan di saat itu, pasti syariatnya juga akan sama-sama tertegak. Aku akan menanti saat itu. Kerana aku yakin dengan janjiNya. Dan aku yakin ini bukanlah satu khayalan, tapi satu kenyataan. Insya Allah.

Akhir kalam, aku mohon doa dan sokongan dari sahabat ku yang lain untuk mendoakan perjuangan ku di sini. Aku hanya insan yang lemah. Namun insya Allah, Allah kurniakan semangat yang kental dan iman yang mantap dalam hati ini. Ya Muqollibal qulub, thabbit qulubi 'ala dinika wa 'ala tho'atika. Amin....

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment