Friday, November 27, 2009
Langkah tercipta~
Semalam aku kelukaan
kecewa kehampaan
mencalar ketabahan
Mimpi yang sering ku harapkan
menjadi kenyataan
namun tak kesampaian.
Allah…
Inginku hentikan langkah ini,
bagaikan tak mampu untuk ku bertahan,
semangat tenggelam,
lemah daya,
haruskah aku mengalah,
namun jiwaku berbisik,
inilah dugaan.
Dan langkahku kini terbuka,
pada hikmah dugaan,
uji keimanan (menguji keimanan).
Tak dilontarkanNya ujian,
di luar kekuatan,
setiap diri insan.
Allah…
Pimpinlah diriku,
tuk bangkit semula,
meneruskan langkah,
perjuangan ini,
cekalkan hati dan semangatku,
kurniakan ketabahan,
agar mimpi jadi nyata,
padaMu ku meminta.
Daku mohon agung kudratMu,
wahai Tuhan yang satu,
segalanya dariMu.
Hentikanlah tangisanku...
Ya Allah... aku mohon rahmat dan maghfirah Mu. Ampunilah dosaku... Allahumma ighfir zunubi ya Rabbal 'alamin...
Masya Allah... setiap kali aku pulang ke tanah air, pasti ada berita yang mengecewakan hati ini. Semakin lama, semakin teruk. Aku tidak sanggup untuk mendengarnya. Aku risau melihat kaum kerabatku yang semakin hari, semakin melampaui batas syariat agama. Bukan mudah untuk berdakwah dengan ahli keluarga ku sendiri. Namun, aku tetap akan berusaha. Jika aku tidak mampu untuk berdakwah secara terang-terangan, aku akan berdakwah bil hal.
Duhai kaum kerabatku yang amat aku kasihi, sedarkah kalian bahawa umat Islam dalam keadaan membimbangkan. Umat Islam sudah semakin parah dengan ketandusan akhlaknya dan nilai-nilai Islam dalam kehidupan mereka. Aku sebagai seorang Muslimah yang masih mempunyai kesedaran terhadap Islam, berasa kecewa dengan apa yang aku lihat pada kalian hari ini.
Mendedahkan aurat, ikhtilat, rokok, minuman keras, pergi ke pub dan sebagainya, sudah menjadi kebiasaan bagi diri kalian. Gambar-gambar kalian di Facebook dan sebagainya menjadi bukti kata-kataku ini. Astaghfirullah... Kalau aku menanyakan kepada kalian apa agama mu, apa yang akan kalian jawab? Sudah tentunya kalian akan mengaku bahawa diri kalian adalah orang Islam. Namun, apakah hanya sekadar Islam pada nama sahaja sudah cukup?? Tanpa menghiraukan larangan dan suruhan daripada Al-Quran dan As-Sunnah, bolehkah kita menjadi seorang Muslim yang baik? Ingin sahaja aku memarahi kalian kerana aku tidak sanggup melihat maksiat yang berleluasa di depan mataku. Namun aku sedar, aku tidak boleh bertindak terburu-buru. Kerana silaturrahim kita yang tidak beberapa erat, menjadikan sukar bagi aku untuk berkomunikasi dengan kalian. Aku sedar, aku tidak sempurna dan bukan sesiapa pada kaca mata kalian. Dan tidak mungkin aku akan jadi sempurna. Tapi, itu tidak bermakna aku hanya duduk dan lihat segala perbuatan maksiat kalian. Aku akan tetap pertahankan yang haq, dan menghapuskan yang batil!. Aku menanti masa yang sesuai. Aku pasti bersuara.
Sedarlah... Aku mohon, insafilah perbuatan kalian. Kembalilah kepada fitrah. Allah sedang menunggu kedatangan kalian. Ya, Allah mempunyai sifat Mutakabbir. Allah mempunyai sifat Jabbar. Allah mempunyai sifat Qahhar. Tapi ingatlah duhai kaum kerabatku... Allah juga mempunyai sifat Ghaffar. Allah juga mempunyai sifat Ar-Rahman, Allah juga mempunyai sifat Ar-Rahim. Allah akan memberi Hidayah kepada sesiapa yang Allah kehendaki. Dan aku harap kalian adalah di antara mereka yang terpilih. Insya Allah. Amin.
Aku tidak tahu bila tangisan ini akan berakhir. Tapi yang pasti, aku akan sentiasa mendoakan kalian. Jika tidak hari ini, mungkin esok atau mungkin juga lusa, bahawa kalian akan mendapat Hidayah Allah dan akan berubah kepada yang lebih baik, sebelum Allah menjemput kalian kembali. Dan aku juga berharap, dan akan terus mengharap. Suatu hari nanti, Islam pasti tertegak di muka bumi ini. Dan di saat itu, pasti syariatnya juga akan sama-sama tertegak. Aku akan menanti saat itu. Kerana aku yakin dengan janjiNya. Dan aku yakin ini bukanlah satu khayalan, tapi satu kenyataan. Insya Allah.
Akhir kalam, aku mohon doa dan sokongan dari sahabat ku yang lain untuk mendoakan perjuangan ku di sini. Aku hanya insan yang lemah. Namun insya Allah, Allah kurniakan semangat yang kental dan iman yang mantap dalam hati ini. Ya Muqollibal qulub, thabbit qulubi 'ala dinika wa 'ala tho'atika. Amin....
Wallahu'alam.
Sunday, November 22, 2009
Hidup sebagai Dai’e.
Salamun'alaik... Salam buat para mujahideen yang sedang memburu syahid. Hamdan wa Syukran lillah… Setinggi-tinggi kesyukuran ana rafakkan buat Pemilik nyawa dan jiwa ini. Dia lah yang sentiasa memberi ana kesempatan untuk menginsafi dan menyesali segala perbuatan ana yang sengaja atau pun tidak.
Setelah sekian lama menyepi, bukan kerana tidak mahu menulis lagi, tapi kerana kekangan masa yang menghambat diri ana untuk post entry di blog ini. Di tambah pula dengan kolej ana yang baru-baru ini telah ‘block’ semua blog-blog yang ada. Ana tidak pasti mengapa mereka lakukan itu. Kerana jika mereka di pihak yang benar, tak perlu takut.
“ Aku selalu beringat, jalan dakwah bukanlah jalan mudah. Aku akan diuji dengan berbagai-bagai ujian. Jalan dakwah ialah jalan yang penuh dengan duri, ranjau, ombak dan badai. Bukan jalan yang penuh dengan madu dan halwa. Kalau taku dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Kalau takut mengharungi kesusahan hidup, jangan berkecimpung dalam bidang dakwah.” Begitulah kata-kata seorang ustaz yang bernama Ustaz Abdul Rahman. Merupakan seorang daie dan juga seorang asatizah di tanah airku.
Ana tidak pernah terfikir akan menjadi seorang daie. Apatah lagi menjadi seorang yang akan menegakkan agama Allah. Menjadi seorang daie tidak perlu menjadi seorang yang popular di kalangan masyarakat atau sebagainya. Cukuplah kita meyampaikan dakwah pada setiap lapisan masyarakat mengikut kemampuan kita. dan tidak lupa juga mengikut waqi’(sesuatu tempat) atau ‘uruf (kebiasaan) masyarkat tersebut.
Bagi diri ana, ana lebih menumpukan di kalangan remaja. Memandangkan ana masih belajar di kolej, ana lebih berminat untuk berdakwah dengan mereka. Ana mempunyai ramai sahabiah yang menjalankan tugas sebagai seorang daie. Ana sangat kagum dengan kesungguhan mereka. Merekalah yang menjadi inspirasi diri ini, agar tidak termasuk dalam golongan yang hanya duduk dan lihat. Tapi, disebabkan ana dari Negara luar, ada sedikit kekangan yang membuatkan diri ana tidak dapat mengikut sesetengah gerak kerja yang dijalankan. Namun, ana tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya mereka ada melakukan aktiviti dan program yang dapat menambahkan ilmu ana. Dan yang paling aktif adalah program Usrah. Satu program yang di mana mereka akan membentuk satu halaqoh dan akan menyampaikan tazkirah atau apa-apa sahaja tentang Islam.
Kadang-kala, ana tak bersedia untuk mengahdapi dugaan dan cabaran. Sering kali ana hampir-hampir berputus asa. Sehinggakan kadang kala ana buat keputusan untuk memilih dunia dari hidup dengan dugaan ini. Namun Allah berfirman dalam surah al-Kahfi ayat 28 yang bermaksud: “Dan bersabarlah engkau (Muhammad) bersama orang-orang yang meneyru Tuhannya pada pagi dan senja hari dengan mengharap keredhaanNya. Dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka kerana mengharapkan perhiasan kehidupan dunia. Dan janganlah engkau mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingat Kami, serta menuruti keinginannya dan keadaannya sudah melewati batas”. Ayat ini membuatkan ana lebih bersemangat dan yakin dengan janji Allah. Melihatkan akhowat ana yang lain, yang tidak pernah kenal erti penat dan rehat, membuatkan ana ingin menjadi seperti mereka. Ana sendiri yang harus bergerak kalau ana ingin menyampaikan dakwah. Bukan menunggu orang datang dan bertanya. Kata-kata semangat dari akhowat ana membuatkan diri ini lebih bersemangat untuk terus berada di jalan dakwah ini.
Dari saat itu, diri ini mula berfikir bagaimana cara dan uslub yang boleh digunakan untuk orang di sekeliling. Walaupun kebanyakan sahabat ana masih di peringkat remaja, namun, perangai dan firkiran mereka berbeza. Itulah yang membuatkan ana dan sahabat sering bermusyawarah cara-cara untuk menyampaikan dakwah pada diri mereka. Kadang-kadang, kita terpaksa jadi ‘sempoi’ untuk serasikan diri dengan mereka. Itu semua kita jadikan sebagai uslub untuk menyampaikan mesej yang sebenar tentang Islam. Walaupun tak banyak, tapi sekurang-kurangnya dapatlah juga sampaikan satu atau dua ayat. Seperti sabda Rasulullah, “sampaikan padaku walaupun satu ayat”.
Kadang kala, terdengar keluhan sahabat-sahabat ana yang terlalu penat untuk meneruskan tugas dakwah ini. Ketahuilah duhai akhowat, Allah sentiasa mencatit setiap perbuatan yang kamu lakukan. Bak kata seorang ulama’, “jangan takut untuk menyampaikan kebenaran. Apabila ramai yang datang untuk belajar denganmu dan mereka suka padamu, ketahuilah ketika itu kamu sebenarnya tidak menyampaikan kebenaran, sebaliknya kamu menyampaikan apa yang disukai oleh orang ramai. Sedangkan Allah berfirman: “ kebanyakan manusia tidak suka kepada kebenaran dan apabila hanya sedikit yang datang kepadamu janganlah kamu berputus asa kerana kebenaran disenangi sedikit orang..”. teruskan dan teruskan usaha anda dalam medan dakwah ini.
Akhir kalam, semoga diri kalian sentiasa dirahmati Allah. Ana yakin, antum semua yakin dengan janji Allah, iaitu syurga tercipta bagi orang yang beriman. Mahar untuk ke syurga bukan murah dan mudah. Ia perlukan banyak pengorbanan. Doakanlah untuk diri ini juga agar terus thabat seperti kalian. Semoga kita semua ditempatkan bersama para syuhada’ dan orang-orang yang soleh. Insya Allah. Amin. Teruskan perjuangan. Allah pasti bersama orang-orang yang benar!.
W'salam.